J. Shanti, 48, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibaca berasingan di hadapan Majistret Zaki Asyraf Zubir dan Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah.

Pertuduhan pertama, dia didakwa menipu seorang wanita, Saw Lae Kun, 31, dengan memperdayakan mangsa untuk melabur bagi mendapatkan flat kos sederhana yang tidak wujud serta mendorong Lae Kun menyerahkan wang berjumlah RM150,000 ke dalam akaun Maybank Bhd. miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis E-5-05, Blok Oasis Square, No. 2, Jalan PJU A1/7A Ara Damansara dekat sini, pada 6 Julai 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan serupa terhadap seorang Pengarah syarikat alat ganti kenderaan, Teh Jit Keong, 46, dengan mendorong mangsa menyerahkan dua keping cek bernilai RM300,000 ke dalam akaun Maybank tersebut pada tarikh dan tempat sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Zaki Asyraf dan Fadzlin Suraya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua pertuduhan serta menetapkan 4 dan 8 Mei ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE