Azlan Khamis, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh ketika itu bertugas di sebuah firma guaman Tetuan Raja Ismail & Ambril Ghazaly didakwa dengan curang telah melakukan pecah amanah wang pemegang saham milik syarikat Teras Tegap Sdn. Bhd. berjumlah RM250,000 yang diamanahkan kepadanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Tasek Utama, Ayer Keroh di sini pada 21 Mac 2013.

Bagi kesalahan itu, Azlan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos sebelum itu mencadangkan jaminan RM30,000 manakala tertuduh yang diwakili Peguam Muhammad Razman Sahat merayu supaya jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan sanggup datang dari Kuala Lumpur untuk memberikan kerjasama.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 22 April depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE