Yuen Kwong Wai

Yuen Kwong Wai, 52, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah RM598,397.21 selesai dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Kwong Wai didakwa sebagai ejen di Tetuan Yuen & Co. te­lah diamanahkan wang bernilai RM332,100, RM147,797.21 dan RM118,500 iaitu bayaran daripada lima individu untuk tiga penjualan hartanah melibatkan Perjanjian Jual Beli masing-masing bertarikh 10 Julai, 20 Ogos dan 13 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu de­ngan menggunakan harta-harta berkenaan bagi kegunaan sendiri di firma guaman berkenaan di Jalan Sri Hartamas 7, Taman Sri Hartamas di sini.

Pendakwaan ke atas lelaki itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Amira Sariaty mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun peguam Pang Teck Yaw yang mewakili Kwong Wai memohon anak guamnya diberikan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan.

Mahkamah membenarkan ter­tuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport perlu dise­rahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April ini untuk serahan dokumen.

Pada 17 Februari lalu, Kwong Wai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas dua pertuduhan serupa melibatkan jumlah hampir RM400,000, tiga tahun lalu.