Bagi kedua-dua pertuduhan, M.S. Ganesh Kumar, 31, didakwa memiliki 23 video lucah yang dimuat naik dalam telefon bimbit jenis Samsung Grand serta satu gambar lucah di dalam komputer ribanya jenama Lenovo bagi tujuan pengedaran di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Balai Polis Sungai Way di sini pada pukul 8 pagi, 22 Februari lalu.


Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM12,000 bagi seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan namun peguam, Jay Moy Wei Jiun yang mewakili Ganesh Kumar memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya sebelum ini telah menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut dan Seksyen 186 kanun, menghalang penjawat awam.

Majistret Nurulhuda Zakariya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes.


Tertuduh dibebaskan setelah membayar wang jaminan tersebut.