Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak, Nancy Mongin, 44, menghadapi enam pertuduhan bersubahat membuat dan mengemukakan tuntutan palsu manakala Reggy Petrus Naes, 46, dan Akiu Bandat, 58, masing-masing didakwa atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu.

Mengikut pertuduhan, Nancy didakwa bersubahat dengan Re­ggy dalam mengemukakan tiga invois mengandungi maklumat-maklumat palsu kepada kementerian tersebut pada 3 September, 2 Oktober dan 10 Oktober 2014.

Wanita itu juga didakwa bersu­bahat dengan Akiu untuk membuat tuntutan palsu berhubung penyediaan 20 beg baja, 30 beg makanan akuakultur dan 35 beg makanan pembesaran ayam di pejabat kementerian tersebut di Bangunan Baitulmakmur di sini antara 11 November 2014 dan 7 Mei 2015.

Reggy pula didakwa mengemukakan tuntutan palsu kononnya mengendalikan tiga kursus iaitu Menyediakan Pakej Latihan Pertanian Adalah Perniagaan pada 27 hingga 30 September 2014, Kursus Saintis Muda Pertanian bagi Tabika Kawasan Be­ngoh, Penrissen dan Padawan dan Pakej Latihan Asas Pastri bagi penduduk pe­nempatan semula Bengoh, Kampung Giam dan Samadang yang tidak dijalankan.

Sementara Akiu pula didakwa membuat tuntutan palsu de­ngan mendakwa menyediakan 20 beg baja kepada Sekolah Mene­ngah Kerajaan Penrissen berjumlah RM3,000; 30 beg makanan akuakultur bernilai RM2,550 dan 35 beg makanan pembesaran ayam bernilai RM4,375 kepada sekolah sama yang sebenarnya tidak dibekalkan.

Nancy didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama manakala Reggy dan Akiu masing-masing menghadapi pertuduhan di ba­wah Seksyen 18 akta tersebut.

Ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Jason Juga membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan sementara menunggu sebutan semula kes pada 7 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How manakala peguam, Teresa Udam mewakili Nancy dan Reggy manakala Jonathan Jalin mewakili Akui.