Namun, keadilan harus dilaksanakan tanpa mengira pangkat walaupun individu yang melakukan kesalahan mempunyai kedudukan dalam organisasi yang terlibat dalam penguatkuasaan undang-undang.

Perkara itu terbukti apabila Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), JPJ, Datuk Yusoff Ayob didenda RM600 atau penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu di lorong kecemasan, tahun lalu.

Bagaimanapun, pegawai kanan kerajaan itu tidak hadir bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya. Pengakuan bersalah direkodkan melalui pegawai khasnya dikenali sebagai Tengku Dahari yang tampil mewakili beliau.

Ketika ditanya oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman, Dahari memaklumkan bahawa ketika kejadian, Yusoff sedang membuat pemantauan lalu lintas.

Sementara itu, seorang pegawai dari Unit Pendakwaan JPJ Selangor, Rahalim Mohamed memberitahu pihak media di luar mahkamah, Yusoff tidak hadir kerana mengikuti Program Perhimpunan Setia di ibu pejabat JPJ.

Yusoff, 58, melakukan kesalahan itu ketika memandu kende­raan bernombor pendaftaran BLY 68 di Lingkaran Putrajaya pada pukul 6.27 petang, 7 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa JPJ, Mohd. Hafizuddin Mohd. Lutfi mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959 dan didenda mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Yusoff melalui pegawainya membayar denda tersebut.

Sementara itu, usaha pihak media untuk mendapatkan maklumat daripada kertas pertuduhan menemui jalan buntu selepas Rahalim memberitahu beliau telah diarahkan agar tidak memberikan maklumat berhubung kes berkenaan.