Bagi kes pertama, M. Jayakumar, 29, yang bertugas di Jabatan Imigresen Lapangan Terbang An­­tarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didakwa menerima suapan RM7,400 daripada Pheh Khar Huat, 45, sebagai dorongan untuk melepaskan teman wanita dan rakannya, kedua-duanya warga Vietnam daripada senarai hitam pihak berkuasa.

Kes kedua, Suhana Samad, 35, dan Zalita Haron, 39, yang bertugas di Jabatan Imigresen Selangor pula didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang bayaran permohonan pasport antarabangsa Malaysia milik tujuh individu berjumlah RM1,400, tahun lalu.

Sementara bagi kes ketiga, Pembantu Penguat Kuasa JPJ Petaling Jaya, Abu Bakar Ismail, 30, didakwa bersama-sama bekas penjual kereta terpakai, Amir Faisal Jalalludin, 33, atas 25 pertuduhan berhubung pendaftaran pertukaran hak milik 25 kenderaan mewah menggunakan dokumen palsu, tahun lalu.

Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Kes terhadap Jayakumar didakwa berlaku di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga di pekarangan bangunan Petronas KLIA, kira-kira pukul 5.25 petang, 1 Jun 2016.

Suhana dan Zalita pula didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah terhadap wang bayaran permohonan pasport antarabangsa Malaysia milik tujuh individu terbabit di Bahagian Pasport, Jabatan Imigresen Selangor, Tingkat 2, Kompleks PKNS di sini antara 28 Jun hingga 1 Julai 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Sementara Abu Bakar dan Amir Faizal didakwa memberi dokumen mengandungi butiran palsu antara 27 Mei hingga 29 Julai 2016 menyebabkan Bahagian Khidmat Kaunter JPJ Petaling Jaya mendaftar pertukaran hak milik 25 kenderaan mewah daripada status lucut hak kastam ke dalam pangkalan data MySikap JPJ secara tidak sah.

Jayakumar didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Abu Bakar dan Amir Faizal didakwa mengikut Seksyen 18 akta sama, masing-masing boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta tersebut yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Jayakumar, Suhana serta Zalita masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin manakala Abu Bakar dan Amir Faizal diikat jamin RM50,000 seorang berserta seorang penjamin dan menetapkan 26 dan 27 April ini untuk sebutan kes.