Pegawai imigresen berkenaan, Mohd. Khairi Othman, 38, dan isteri, Noorashikin Azmi, 38, dari Taman Rahmat, Jitra serta Huziana Othman, 48, dari Taman Suasana Damai, Jitra yang merupakan kakak Mohd. Khairi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Pertuduhan pertama, Mohd. Khairi sebagai Ketua Unit DP10 di Bahagian Khidmat Ekspatriat, Ibu Pejabat JIM Putrajaya didakwa memperoleh rasuah RM100,000 daripada Muhammad Khairul Asri Pubin melalui akaun Maybank Bhd. atas nama Hassan Muhammad Yusuf @ Daud.

Suapan tersebut didakwa diberikan sebagai upah untuk mempercepatkan pengeluaran Surat Kelulusan Pegawai Dagang (DP10) bagi syarikat MKAP Bina Sdn. Bhd. pada pukul 11.07 pagi, 16 Julai 2015.

Pertuduhan kedua, Mohd. Khairi didakwa menerima RM50,000 daripada Lee Wai Kay melalui akaun yang sama dan tujuan yang sama bagi syarikat Nature Sense Sdn. Bhd. pada pukul 1.18 petang, 19 Jun 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh juga menghadapi 18 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001 membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM9.2 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa bank di sekitar negeri ini antara 18 Disember 2015 dan 1 Mac tahun lalu.

Noorashikin yang juga Penga­rah Firas Rizqi Resources dan Ilham Rizqi Resources menghadapi lima pertuduhan membabitkan 4(1)(a) dan 4(1)(b) AMLA melibatkan jumlah keseluruhan RM2.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tiga bank sekitar Jit­ra, di sini antara 7 April 2016 dan 14 November 2016.

Huziana pula didakwa meneri­ma wang berjumlah RM500,000 daripada akaun Bank Rakyat Bhd. milik Hassan Muhammad Yusuf @ Daud di Bank Rakyat cawangan Alor Setar pada 9 Jun 2016 dan bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut 4(1)(a) AMLA 2001.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar manakala Mohd. Khairi serta Noorashikin diwakili peguam Ridha Abdah Subri manakala Huziana tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Mohd. Khairi diikat jamin RM1.6 juta manakala Noorashikin dan Huziana masing-masing RM200,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Noorashikin dan Huziana menjelaskan wang jaminan masing-masing. Mahkamah menetapkan 12 Februari ini, sebutan semula untuk penyerahan dokumen.