Megat Khairul Anuar Sulaiman, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan selesai dibacakan kepadanya di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa me­minta rasuah RM3,000 untuk diri sendiri daripada Muhammad Zahir Zahiri sebagai dorongan bagi menutup kes tangkapan tersebut sewaktu perbualan te­lefon sebagai Pegawai Imigresen Gred KP17 yang bertugas di Jabatan Imigresen Negeri pada kira-kira pukul 1.55 petang, 30 Mac 2016.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan wang RM3,000 bagi tujuan sama di Bahagian Penguat Kuasa jabatan tersebut pada kira-kira pukul 5.10 petang, hari yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 30 November ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa daripada SPRM, R. Kumuthambal manakala tertuduh tidak diwa­kili peguam.