Abu Zahrim Ismail, 44, yang ditahan di ibu negara pada pukul 1.15 petang, semalam didakwa dengan niat memperdaya Ketua Pengarah Perhilitan membuat tuntutan palsu atas nama Baraplas Kreatif Enterprise di pejabat Penguasa Taman Negara, Jerantut, dekat sini pada 28 November 2013.

Tuntutan tersebut didakwa mengandungi pembelian 28 unit beg Haversack 75 liter jenama Deuter dan 60 unit Dry Pack 30 liter sedangkan barangan tersebut tidak diterima.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 namun tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan kerana isterinya tidak bekerja dan perlu menyara empat anak termasuk anak bongsu yang mempunyai masalah kesihatan.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes.