Mereka terdiri daripada Inspektor S. Hare Krishnan, 45, Sarjan Jaffri Jaafar, 48, Koperal Mohd. Nahar Abd Rahman, 49, dan Koperal Mohd. Haswadi Zamri Shaari, 36.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim selepas menolak rayuan akhir pendakwa raya.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi betul ketika membebaskan keempat-empat responden daripada pertuduhan yang dihadapi.

Responden-responden diwakili oleh barisan peguam bela terdiri daripada M. Athimulan, Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Baljit Singh Sidhu dan R. Mahendren manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dan Asmah Musa.

Pihak pendakwaan berhujah, keterangan ikut keadaan yang dikemukakan bahawa mereka bertugas untuk tempoh 24 jam pada malam kejadian, adalah cukup kuat bagi mensabitkan keempat-empatnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, pembelaan antara lain menyatakan, Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf daripada segi undang-undang ketika membebaskan mereka manakala pembelaan alibi tidak dicabar oleh pihak pendakwaan.

Mereka didakwa membunuh Dharmendran di antara 18 Mei 2013 dan pukul 4.30 petang, 21 Mei 2013 di Pejabat Siasatan Khas (D9), Tingkat 7, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di ibu negara. - UTUSAN ONLINE