Namun menilai situasi ini dalam konteks kontroversi penguasaan bahasa Melayu oleh Peguam Negara, Tommy Thomas kelmarin, adakah patut seorang peguam yang mewakili kerajaan menggunakan alasan tidak mahir berbahasa Melayu untuk memohon perbicaraan dijalankan dalam bahasa asing?

Bagi pensyarah undang-undang perlembagaan dan pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Faridah Jalil, sekiranya kes ini merupakan kes individu, mungkin alasan peguam dipilih merupakan peguam terbaik boleh diguna pakai tetapi memandangkan Peguam Negara mewakili kerajaan, alasan tersebut adalah lemah dan tidak kukuh.

“Kenapa tidak dilantik peguam dalam kalangan mereka yang boleh berbahasa Melayu? Jika kes adalah kes individu, kemungkinan akan dibangkitkan alasan peguam berkenaan adalah peguam terbaik dan hak memilih peguam adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Namun jika kes akan diwakili oleh ‘peguam kerajaan’, adakah alasan tersebut boleh dibenarkan? Urusan kerajaan prinsip asasnya dijalankan dalam bahasa kebangsaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini, hari ini.

Rabu lalu, Tommy dilaporkan memohon kepada mahkamah untuk meneruskan prosiding kes pecah amanah dan salah guna kuasa terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bahasa Inggeris dan permohonannya itu dibenarkan.

Tommy kemudiannya didesak oleh penyokong Najib untuk menggunakan bahasa Melayu dalam sidang akhbar yang ingin dijalankan sehingga memaksa beliau dan pasukan pendakwaannya membatalkan sidang akhbar tersebut.

Mengulas lanjut, Faridah berkata, alasan penggunaan bahasa Melayu akan menyukarkan pengadilan dan kefahaman dalam perbicaraan hanya boleh diguna pakai sekiranya wujud ‘unsur antarabangsa’ dalam perbicaraan, seperti penglibatan pihak yang bukan warganegara Malaysia dan tidak boleh berbahasa Melayu.

“Namun ia adalah alasan semata-mata jika tiada langsung unsur-unsur yang jelas menunjukkan bahawa keadilan tidak boleh terlaksana, misalnya pihak-pihak dalam perbicaraan adalah rakyat Malaysia dan diwakili oleh peguam tempatan yang belajar di universiti tempatan serta undang-undang yang terlibat adalah undang-undang tempatan. Ringkasnya tiada langsung ‘unsur antarabangsa’ dalam kes berkenaan,” katanya.

Malah, menurut Faridah lagi, istilah bahasa Melayu bagi terma perundangan adalah mencukupi memandangkan usaha penggubalan istilah oleh Jabatan Peguam Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Peguam dan universiti tempatan masih berterusan sehingga kini serta penerbitan akta juga dilakukan dalam dwibahasa.

“Kesukaran boleh berlaku jika istilah melibatkan prinsip ‘common law’ yang berteraskan adat Inggeris namun perlu diketahui, undang-undang Malaysia pada hari ini banyak telah beralih dari ‘common law’, maka dalam beberapa keadaan tiada kesukaran untuk mendapatkan terma yang bersesuaian dengan budaya Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE