Kedua-dua tertuduh, Mohd. Wirah Mohd. Yakub, 33, dan isterinya yang juga warga Indonesia, Nur Aqma Rosli, 22, didakwa dengan niat bersama membunuh Mohd. Dizhwar Dzakry Abdullah, 5.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sentosa di sini, antara pukul 10 pagi sehingga 10.26 malam, 25 Disember 2018.


Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 akta sama. Jika disabitkan kesalahan, pasangan itu boleh dihukum mati.


Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Rashidah Baharom. Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada pasangan terbabit.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abd. Jalil Salam Muhamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


Majistret kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula pada 17 Februari ini sementara menunggu laporan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). - UTUSAN ONLINE.