Dr. Norashikin Othman yang bertugas di Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), yang menjalankan analisis terhadap sampel enzim Kim Chol, berkata paras ‘enzyme cholinesterase’ untuk Kim Chol adalah rendah iaitu 344 unit per liter (UL).

Saksi pendakwaan kelima itu menerangkan julat normal bagi ‘enzyme cholinesterase’ untuk individu lelaki ialah 5,320 UL sehingga 12,290 unit UL.

“Paras ‘enzyme cholinesterase’ dari badan Kim Chol boleh disebabkan oleh pendedahan kepada racun serangga atau racun agen saraf,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin tentang mengapa paras enzim Kim Chol rendah.

Beliau berkata demikian pada perbicaraan kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama-sama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Norashikin berkata, paras ‘enzyme cholinesterase’ bagi Siti Aisyah ialah 6,781 UL manakala bagi Thi Huong ialah 7,163 UL dan kedua-dua paras enzim itu adalah normal.

Norashikin menerangkan bahawa ‘enzyme cholinesterase’ berfungsi untuk memecahkan ‘neurotransmitter’ yang menghantar isyarat kepada otot dan kelenjar untuk mengecut dan ia boleh berada dalam keadaan relaks selepas mengecut.

“Keseimbangan antara fungsi ‘neurotransmitter’ dengan ‘enzyme cholinesterase’ diperlukan untuk memastikan proses pengecutan berlaku dalam kea­daan normal. Oleh itu, sekiranya enzim itu kurang dalam badan seseorang, ia akan menyebabkan otot dan kelenjar berada dalam keadaan pengecutan yang berte­rusan,” katanya.

Beliau berkata, air liur keluar daripada kelenjar rembesan dan sekiranya terganggu ia akan mengeluarkan lendir atau cecair yang banyak daripada kelenjar itu.

Kepada soalan Wan Shaharuddin mengenai kaitan sawan dengan pengecutan otot, saksi itu berkata, sawan adalah tanda-tanda di mana pengecutan otot berlaku secara berterusan dan air liur keluar daripada kelenjar perembes.

Semalam, saksi ketiga yang merupakan Penolong Perubatan di Klinik Perubatan Menara di KLIA2, Rabiatul Adawiyah Mohd. Sofi, dalam keterangannya berkata, seorang pesakit yang dikenali ‘Kim Chol’ berdasarkan pasportnya, kelihatan seolah-olah ter­kena sawan semasa berada di klinik itu di mana lelaki itu menundukkan kepalanya, dengan air liur dan hingusnya meleleh dan kedua-dua tangannya menggeletar.

Norashikin, 44, yang memberikan perkhidmatan kepakaran dalam bidang patologi kimia khususnya dalam bidang toksikologi klinikal menerangkan beliau menjalankan uji kaji terhadap sampel pesakit melibatkan keracunan.