Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan perkembangan terbaharu tersebut kepada Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azizah Nawawi yang sepatutnya mendengar permohonan semakan kehakiman Pakatan Harapan pada pukul 3 petang ini bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya ROS mendaftarkan parti tersebut sebagai pertubuhan berdaftar.

“Saya menerima satu surat daripada ROS bertarikh hari ini lebih kurang pukul 2 petang ini berhubung pendaftaran PPBM dibatalkan buat sementara mulai tarikh perintah Surayati dibuat. ROS yang dinamakan sebagai pihak responden dalam permohonan semakan kehakiman itu sedia maklum dengan permohonan pihak kami,” kata Gobind.

Ini kerana menurut peguam itu, mahkamah telah memberi kebenaran kepada Pakatan Harapan pada 1 Mac lalu untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus supaya mendesak ROS mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Gobind menyatakan, tindakan ROS itu merupakan gangguan dan menimbulkan kesan prejudis terhadap Pakatan Harapan memandangkan PPBM merupakan salah satu pemohon yang mengemukakan semakan kehakiman itu.

Beliau sehubungan itu memohon supaya diberikan peluang dan sedikit masa untuk mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran prosiding menghina mahkamah terhadap Surayati.

Menurut Gobind, pihaknya akan mengemukakan afidavit untuk diteliti oleh mahkamah sebelum memberikan kebenaran prosiding tersebut.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili pihak responden memohon masa untuk menjawab afidavit pihak pemohon.

Hakim Azizah sehubungan itu menetapkan 11 April ini bagi pengurusan kes tersebut.

Sementara itu di luar mahkamah, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili PPBM memberitahu pemberita, pada 29 Mac lalu parti itu telah menghantar dokumen terakhir kepada ROS.

Afidavit Surayati menurut Gobind, telah difailkan pada 30 Mac lalu namun ROS tidak pernah memaklumkan akan membuat keputusan membubarkan sementara parti berkenaan.

“Saya difahamkan oleh sekretariat PPBM bahawa notis bertarikh hari ini diserahkan antara pukul 12.45 dan 1 petang,” ujar Mohamed Haniff.