Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid, 62, berkata, rumusan itu dibuat berdasarkan luka sagat di dada kanan, belakang pinggang dan kepatahan tulang rusuk, selain butang baju putus.

Dr. Shahrom turut merumuskan bahawa, berdasarkan luka pada bahagian badan, daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah diterajang menyebabkan luka sagat dan patah tulang-tulang rusuk di dada kanan pada atas dan lebam paru-paru kanan.

“Daun pintu EMRS juga telah sekali lagi diterajang menyebabkan dua lebam pada bahagian hadapan atas lengan kanan. Bahagian belakang kiri badan mangsa telah ditolak de­ngan kuat mengenai bahagian sisi menegak daun pintu menyebabkan patah tulang-tulang rusuk kiri posterior dan lebam paru-paru kiri.

“Mangsa mati akibat kecede­raan parah paru-paru kiri dan kanan akibat hentakan-hentakan trauma tumpul. Hentakan trauma tumpul ini bukan akibat perbuatan diri sendiri tetapi akibat perbuatan dua atau lebih orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ketika menjawab soalan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempat (KPKT) Syazlin Mansor dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-23.

Menceritakan lanjut pengli­batannya dalam inkues Muhammad Adib, Dr. Shahrom yang juga Pakar Perunding Kanan Patalogi Forensik di United Kingdom berkata, dia menerima emel daripada Syazlin pada 13 Mac bagi mendapatkan bantuan khidmat nasihat dalam kes forensik patologi.

Dr. Shahrom yang pernah menjadi saksi dalam inkues Penolong Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed yang terjatuh dari bangunan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) pada 2011, menjelaskan, pada awalnya dia berpendapat laporan diberikan baik sahaja sehingga Syazlin memaklumkan terdapat keraguan rekonstruksi.

“Pada masa tersebut, saya melihatnya secara terperinci sebelum memohon mengambil kes untuk memberi bantuan selain mendapatkan semua material, dokumen, video dan gambar.

“Saya juga telah meminta untuk melihat sendiri keadaan kenderaan tersebut. Malah, saya melihat ada bukti yang perlu dilihat dan membuat simulasi dan lakonan semula,” ujarnya.

Tambah Dr. Shahrom yang merupakan satu-satunya pakar patologi forensik yang mempunyai kelayakan tertinggi di Malaysia berkata, kecederaan juga menunjukkan tidak mungkin mangsa keluar sendiri dari van berkenaan.

“Malah, tidak mungkin ma­ngsa terhimpit antara jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van EMRS kerana ia akan menyebabkan kesan kecederaan yang berlainan.

“Jika itu berlaku (terhimpit antara FRT dan EMRS), berkemungkinan besar mangsa akan mati di situ juga,” ujarnya.