Remaja berusia 18 tahun itu memakai seluar sekolah menengah berwarna hijau, berkasut putih dan berkemeja putih namun memakai baju T putih yang tertulis Peace Individual dipercayai berbuat demikian untuk meraih simpati.

Mengikut pertuduhan, ter­­tuduh yang tidak lagi bersekolah itu didakwa menawarkan RM50 kepada Lans Koperal Mohd. Farid Ahmad sebagai dorongan untuk tidak menyamannya kerana me­nunggang motosikal tanpa memakai topi keledar di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Hwa Lian, Pasir Bongak, Pangkor pada pukul 2 petang, 18 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Remaja yang bekerja sebagai mekanik itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Hakim S. Indera Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mene­tapkan 11 September ini untuk sebutan kes.