Lelaki berusia 46 tahun yang dipanggil `Pak Su’ oleh ketiga-tiga anak saudaranya itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya satu persatu di hadapan Hakim Azrul Darus.

Pertuduhan dibacakan bermula pada pukul 11 pagi sebelum mahkamah berhenti bersidang pada pukul 11.35 pagi dan bersambung pada kira-kira pukul 12 tengah hari sehingga pukul 2 petang. Lelaki itu secara keseluruhannya menghadapi 588 pertuduhan setelah dua hari pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh yang memakai baju T berwarna biru dan berseluar gelap itu hanya berkata “tidak salah” selepas setiap pertuduhan dibacakan dua jurubahasa secara bergilir-gilir.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 253, dia didakwa melakukan sumbang mahram iaitu bersetubuh dengan anak saudaranya yang kini berusia 17 tahun sejak kanak-kanak yang tidak boleh dikahwini itu berusia enam tahun antara Januari 2006 dan Disember 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke 254 pula, tertuduh yang sudah berkahwin itu didakwa cuba merogol seorang lagi anak saudaranya berusia 10 tahun yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu antara Januari 2017 dan Disember tahun sama serta didakwa mengikut Seksyen 376B/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Kesemua perbuatan itu di­dakwa dilakukan di sebuah flat di Ampang, Hulu Langat dekat sini.

Timbalan Pendak­wa Raya, Nor Hashimah Hashim tidak mencadangkan jaminan atas alasan kebarangkalian tertuduh akan mengganggu mangsa ada­lah tinggi kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Saya bantah per­mohonan pihak pembelaan untuk membenarkan tertuduh diikat jamin kerana tertuduh mengetahui tempat tinggal mangsa dan amat mengenali mangsa,” katanya.

Peguam, Shahrul Nizam Az­wir yang mewakili tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya kini tidak lagi tinggal bersama-sama mangsa selain belum dibuktikan tertuduh bersalah.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan semula kes. Sepanjang prosiding itu berlangsung, tiada ahli keluarganya hadir ke mahkamah.

Pada 2 Februari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas 334 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya berusia 13 tahun yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu sejak lapan tahun lalu.