Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu selepas Ezenwugo Titus Uche, 38, mengaku bersalah merokok di Mahkamah Majistret Jenayah 8, Aras 2, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini yang juga kawasan larangan merokok mengikut Peraturan 11(1)(h) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pada pukul 10.30 pagi, 12 April lalu.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa, Shumizan Siron memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat secara amnya, bagaimanapun Ezenwugo yang tidak diwakili peguam sekadar merayu hukuman ringan.

Berdasarkan fakta kes, Ezenwugo dilihat sedang merokok ketika pemeriksaan dilakukan oleh pegawai dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa di lokasi kejadian. -UTUSAN ONLINE