Hakim Datuk Samsudin Hassan dalam keputusannya berkata, jumlah itu termasuk RM5 juta bagi ganti rugi teladan manakala RM1 juta sebagai kos dengan RM500,000 dibayar kepada 78 plaintif manakala RM500,000 lagi kepada Penerima dan Pe­ngurus untuk dimasukkan dalam tabung amanah.

Keputusan itu dibuat oleh beliau dalam kes saman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang bersidang di sini kerana beliau baru bertukar ke Perak. Keseluruhan prosiding perbicaraan kes itu sebelum ini didengar beliau di Johor Bahru.

Dalam kes saman tersebut, plaintif terdiri daripada Saling Lau Bee Chiang bersama 77 penduduk Orang Asli dari Kampung Sayong Pinang, Kampung Semangar dan Kampung Pasir Intan di Kota Tinggi.

Pihak defendan pula termasuk firma guaman Khana & Co., bekas peguam, S. Kanawagi dan anak­nya, K. Dinesh serta Batin Adong Kuwau dan Batin Daud Kadir yang sudah meninggal dunia.

Hakim Samsudin dalam keputusannya berkata, mahkamah mendapati pihak defendan selaku pemegang amanah telah menyalah guna, salah tadbir dan urus serta salah pakai wang pampasan yang dibayar oleh Kerajaan Negeri Johor kepada penduduk Orang Asli yang tanah mereka diambil alih bagi pembinaan Empangan Linggui.

Beliau berkata, pihak defen­dan juga tidak jujur dan amanah, gagal memaklumkan perkara sebenar, tidak konsisten, mengemukakan dokumen yang boleh dipertikaikan, tidak memberi kerjasama memberi maklumat diminta plaintif serta melengah-lengahkan kes tersebut.

“Mahkamah mendapati defendan memperkayakan diri de­ngan cara tidak sepatutnya.

“Penerima dan Pengurus juga menemukan defendan menggunakan sebahagian wang tabung amanah berkenaan untuk membeli 27 apartmen di Kuala Lumpur di bawah nama Kanawagi dan kemudian wang sewa unit berkenaan digunakan pula untuk membeli 30 lagi unit apartmen menggunakan nama Dinesh,” kata beliau.