SHAMSUL AMAR RAMLI

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, perin­tah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Klang itu bermula semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang berusia 51 tahun dikatakan tidak berpuas hati selepas mangsa yang berusia 55 tahun yang difahamkan merupakan rakan baik suspek sering mengejek keadaan fizikalnya yang kudung kaki sebe­lah kanan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­sek­saan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut me­ngenai kejadian kira-kira pukul 6 petang semalam itu, Shamsul Amar memberitahu, mangsa ditemukan rebah dalam keadaan parah di hadapan rumahnya oleh seorang jiran berusia 48 tahun sebelum meminta bantuan orang ramai untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

Mangsa yang tinggal bersendirian di rumah berkenaan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di bahagian dada kanan akibat ditikam dengan objek tajam.

“Kita turut merampas sebilah pisau yang mempunyai kesan darah dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa,” ujarnya.

Tambah Shamsul Amar, proses bedah siasat mayat mangsa telah selesai dijalankan di Unit Forensik HTAR dan mayat mangsa te­lah dituntut oleh keluarganya.