Datuk Nika Gee Siew Yee, 56, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, Siew Yee didakwa telah mela­kukan capaian tanpa kuasa ke atas komputer milik Pengurus Teknologi Maklumat, Kelab Taman Perdana Diraja Kuala Lumpur, Brian Periera, 32, dengan niat untuk mendapatkan capaian terhadap tiga fail mesyuarat kelab tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kelab berkenaan di Dang Wangi di sini antara pukul 8 pagi dan 5 petang, 29 September 2015.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagaimanapun peguam R. Ramesh Sivakumar memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya bukanlah individu yang berisiko untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan Siew Yee yang merupakan ahli jawatankuasa pusat kelab itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu atau mengancam saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes di­tetapkan 18 Mei ini.