Antara yang hadir adalah Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB) dan beberapa pemimpin politik serta hampir 100 penyokong guru berusia 52 tahun itu.

Mereka yang berkumpul sejak pukul 8 pagi turut memegang sepanduk yang antaranya tertera perkataan Doa Untuk Cikgu Idzahril serta membaca doa kesyukuran sebaik sahaja guru itu keluar dari mahkamah.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya akan terus bersama dengan Noor Idzahril bagi memastikan perjuangan guru dalam mendidik murid diteruskan walau dalam keadaan apa sekali pun.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah satu cabaran kecil yang terpaksa diharungi oleh golongan guru selain sesuatu di luar jangkaan serta tidak diharapkan.

“Saya melihat semangat yang ditunjukkan oleh guru-guru yang turut hadir pada hari ini dan apa yang berlaku tidak akan melunturkan perjuangan mereka untuk mendidik anak bangsa terutama dalam menghadapi cabaran era pendidikan moden,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden GPMS, Zambri Mohd. Isa dan Pre­siden KGGMB, Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad.

Noor Idzahril kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 11 Di­sember lalu kerana didakwa dengan sengaja mendatangkan kece­deraan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di kelas 3 Bestari, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa dekat sini pada pukul 10 pagi, 2 Ogos tahun lalu.

Guru Bahasa Inggeris itu yang kini bertugas di SK Sungai Acheh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam tertuduh, Mohd. Fadhly Yaacob berkata, pihaknya beranggapan pertuduhan kes tersebut masih di peringkat pramatang dan terlalu awal untuk anak guamnya dihadapkan ke mahkamah berikutan laporan perubatan mangsa belum diperoleh.

“Hari ini sudah masuk kali ketiga sebutan semula kes dan pihak pendakwaan masih gagal membekalkan laporan perubatan mangsa dan kami memohon agar anak guam saya dibebaskan tanpa dilepaskan kerana kes yang melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan perlu menunjukkan elemen kecederaan dari peringkat awal.

“Sepatutnya tunggu dahulu laporan perubatan dan sekiranya terdapat kecederaan pada mangsa yang menjurus kepada perbuatan anak guam kami, maka tuduhlah,” ujarnya.

Dalam pada itu, pada prosiding hari ini, Majistret Hizween Azleena Othman Kamal menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd. Munir.