Perkara itu disahkan oleh peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Neelofa selepas mengadiri proses mediasi di hadapan perantara, Nurulizwan Ahmad Zubir, hari ini.

Sementara itu, peguam Aiman Ariff Abdul Azij yang mewakili Omm Media memberitahu pemberita, pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu akan memasukkan terma-terma penyelesaian bagi suatu perintah penghakiman persetujuan yang bakal direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Daryl Goon Siew Chye pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 29, memfailkan saman itu pada April lalu, berhubung 10 posting melibatkan dirinya mengenai pelancaran tudung di kelab malam, Zouk dan Anugerah Ikon bagi Tahun Memperkasakan Wanita 2018 (TMW18).

Sementara itu, Wan Nurliyana turut mengesahkan satu lagi kes saman Neelofa terhadap pemilik blog hiburan, Rotikaya.com berhubung posting melibatkan isu yang serupa akan direkodkan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Kes saman terhadap Rotikaya.com juga menjalani proses mediasi di Pusat Mediasi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Pihak media bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang komen daripada Neelofa apabila beliau meninggalkan mahkamah sejurus selepas menghadiri proses mediasi. - UTUSAN ONLINE