ZAHID HAMIDI
ZAHID HAMIDI

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, buat masa ini masih belum ada keputusan rasmi telah diambil berhubung nasib warga Korea Utara itu.

"Kita sedang menunggu maklumat daripada penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara sama ada dia akan dibebaskan atau ditahan di bawah Akta Imigresen atau dihantar ke negara asalnya.

"Keputusan ini akan dibuat dalam tempoh dua atau tiga jam dari sekarang," katanya selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah media asing yang memetik satu sumber bahawa suspek itu akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asal.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan bahawa nasib suspek tersebut hanya akan diketahui esok selepas tempoh remannya selama 14 hari berakhir. - UTUSAN ONLINE