ALLAHYARHAM ZULFARHAN OSMAN ZULKARNAIN
ALLAHYARHAM ZULFARHAN OSMAN ZULKARNAIN

Abdullah Md. Seh, 56, yang juga pesara tentera dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, dia telah dihubungi melalui telefon oleh salah seorang rakan anaknya yang memohon pendapat dalam menyelesaikan kes kecurian komputer riba itu.

Katanya, pemanggil itu yang juga penuntut UPNM telah memberikan senarai nama individu yang disyaki terlibat dalam kes kecurian tersebut.

“Selepas mendapat nama-nama berkenaan, saya melakukan solat hajat serta istikharah. Saya juga ada guna ‘barang’ dan dapat petunjuk dengan nama Zulfarhan muncul dalam pandangan dan gerak hati.

“Saya kemudian maklumkan kepada anak saya berhubung perkara itu ekoran tidak ingat nombor pemanggil terdahulu. Saya katakan tiada bukti lanjut dan berpesan agar menyelesaikan masalah dengan cara baik serta jangan bertindak di luar batasan,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbi­caraan hari ketujuh berhubung kematian Zulfarhan Osman.

Dalam kes itu, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Saksi pendakwaan ke-13 itu yang juga bapa kepada Muhamad Ashraf yang didakwa dengan se­ngaja mencederakan Zulfarhan Osman, turut menasihati rakan-rakan anaknya solat hajat bersama-sama.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke 14, Sarjan Mohd. Tarmizi Saad, 39, yang bertugas di Pusat Perubatan UPNM berkata, dia mene­mukan sekeping nota yang diselit di pagar hadapan pusat perubatan itu pada 23 Mei tahun lalu.

Nota itu, menurutnya bertulis tangan berbunyi, ‘kalau ada hati perasaan, ada sifat peri kemanusiaan, saya mintak sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, blok Satria (depan masjid). Dalam tu, ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!!. - hamba Allah.

“Nota itu kemudian saya serahkan kepada jurulatih bertugas, Kapten Haryani Hassan, 34, untuk tindakan lanjut,” katanya.