Najib, 65, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan agar Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Perdana Menteri keenam itu diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan 4 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE