Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, permohonan tambahan tersebut adalah bagi menyokong permohonannya untuk menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu.

Muhammad Shafee sebelum ini sudah memfailkan notis usul untuk menggugurkan pelantikan Sri Ram di Mahkamah Tinggi Jenayah manakala permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu pula difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dan akan didengar esok.

Beliau berkata, dalam permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu, pihaknya memohon perintah untuk membatalkan beberapa keputusan termasuk pelantikan Sri Ram.

“Kami berpendapat, beberapa perintah yang kami pohon lebih sesuai difailkan melalui permohonan semakan kehakiman,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan 21 pertuduhan melibatkan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Perdana Menteri Keenam itu didakwa melakukan perbuatan itu di Am­Islamic Bank Berhad Bangunan Ambank Group No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014. - UTUSAN ONLINE