Selain tiga pertuduhan tersebut, bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan serupa terhadap tiga pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan satu pertuduhan pindaan bagi kes menyalahgunakan jawatan membabitkan jumlah dana RM42 juta daripada syarikat yang sama.

Najib, 65, yang memakai sut biru dan tali leher hijau kelihatan tenang walaupun prosiding hari ini melibatkan tiga buah mahkamah apabila beliau terpaksa ‘berpindah-randah’ dari Mahkamah Se­syen di tingkat dua ke Mahkamah Tinggi 1 di tingkat empat dan kemudian ke Mahkamah Tinggi 3 di tingkat lima di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Pekan itu ba­gai­manapun bernasib baik apabila Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup tidak mencadangkan jaminan tambahan bagi tiga pertuduhan baharu itu sebaliknya hanya melanjutkan ikat jamin RM1 juta bagi empat pertuduhan sebelum ini dan tindakan itu turut mendapat ucapan terima kasih daripada peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Manoj sebelum itu turut memohon ketiga-tiga pertuduhan pengubahan wang haram dibicarakan bersama empat pertuduhan lain memandangkan pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pecah amanah adalah pertuduhan utama bagi pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram selain melibatkan saksi dan dokumen yang sama.

Beliau juga memohon mah­kamah menetapkan tarikh perbicaraan lebih awal iaitu pada November tahun ini namun dibantah oleh Muhammad Shafee yang meminta mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes terlebih dahulu memandangkan pihaknya masih belum menerima dokumen-dokumen termasuk rakaman percakapan Najib daripada pihak pendakwaan.

“Kami telah menghantar dua pucuk surat kepada pihak pendakwaan untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan, tapi kami tidak menerima apa-apa,” kata peguam tersebut.

Manoj kemudian menyatakan perbicaraan sepatutnya bermula dalam tempoh 90 hari dari tarikh kes difailkan dan dibalas oleh Muhammad Shafee bahawa tempoh berkenaan bukanlah sesuatu yang mandatori tetapi hanya sebagai panduan.

Peguam tersebut kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan selepas pihaknya menerima dokumen-dokumen daripada pasukan pendakwaan.

Tarikh perbicaraan dijangka ditetapkan Jumaat ini selepas mahkamah mendengar permohonan Najib bagi mendapatkan perintah larangan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapi tertuduh setelah Muhammad Shafee memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah bertukar-tukar hujahan bertulis masing-masing hari ini.

Peguam itu juga berkata, Jumaat ini adalah lebih sesuai untuk mendengar permohonan itu kerana kedua-dua pihak boleh berbalas hujah meskipun Hakim Mohd. Nazlan menyatakan beliau bersedia untuk mendengar hujahan tersebut pada hari ini seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Terdahulu, bekas Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pengubahan wang haram di hadapan Hakim Mohd. Nazlan setelah kes itu dipindahkan dari sebuah lagi Mahkamah Tinggi iaitu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah dan sebutan kes itu di hadapan Hakim Azura Alwi di Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) dalam akaunnya di AmIslamic Bank di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55 Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Berhubung pertuduhan pindaan pula, pindaan dibuat dengan menggugurkan perkataan `mengambil bahagian’ dan menggantikannya dengan ‘kamu telah terlibat’ bagi pertuduhan salah guna jawatan manakala bagi setiap pertuduhan pecah amanah, perkataan ‘penjawat awam’ turut digugurkan daripada tuduhan asal, sebaliknya dibaca ‘sebagai seorang ejen iaitu Perdana Menteri’.

Prosiding hari ini menyaksikan Peguam Negara, Tommy Thomas tidak hadir dengan Manoj yang juga Pengarah Naziran Sektor Litigasi, Jabatan Peguam Negara mengendalikan kes di hadapan Hakim Mohd. Nazlan sementara Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan jabatan itu, Datuk Mohamad Hanfiah Zakaria mengendalikan kes pendakwaan semasa di hadapan Hakim Azman dan Azura.