Najib yang genap berusia 65 tahun pada 23 Julai ini membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak.

Pertuduhan terhadap beliau dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Sofian sejurus selepas kes terhadapnya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen.

Ketika di Mahkamah Sesyen, pertuduhan hanya dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin  Kamaruddin tanpa sebarang pengakuan direkodkan.

Di hadapan Hakim Mohd. Sofian, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai pasukan pendakwaan menawarkan jaminan RM4 juta dalam bentuk tunai dengan dua penjamin warga tempatan bagi kesemua pertuduhan.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun memohon jaminan antara RM500,000 hingga RM800,000 dan hartanah tertuduh di Jalan Langgak Duta sebagai cagaran dengan dua  penjamin memandangkan akaun bank Najib, isteri dan anak-anaknya telah dibekukan.

Hakim Mohd. Sofian  kemudian  membenarkan Najib dibebaskan dengan jaminan  RM1 juta berserta dua penjamin selain dua pasport milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
 
Mahkamah turut membenarkan permohohan perintah larangan sementara  oleh tertuduh terhadap media  bagi menerbitkan komen berkenaan merit berkaitan  pertuduhan yang dihadapi oleh tertuduh.

Hakim Mohd. Sofian juga menetapkan sebutan kes pada  8 Ogos ini serta tarikh sama bagi mendengar permohonan tertuduh untuk mendapat perintah larangan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan  merit dan pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan pada  Februari dan Mac tahun depan. - UTUSAN ONLINE