Sehubungan itu, beliau tidak mempunyai kuasa untuk meng­akses dokumen dan borang yang diperlukan oleh Ahli Parlimen, Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee dalam kes samannya terhadap Najib berhubung dakwaan bahawa Perdana Menteri telah melakukan salah laku dalam jawatannya sebagai pegawai awam.

Perkara tersebut dimaklumkan kepada pemberita oleh peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Najib selepas menghadiri pengurusan kes saman itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Faizah Jamaludin.

Selain daripada alasan tersebut menurut Mohd. Hafarizam, Najib tidak pernah merujuk dokumen dan borang berkenaan dalam permohonan beliau untuk memba­talkan saman Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu.

“Tony selaku pihak plaintif yang menyatakannya iaitu Perkara 117 Data Urusan dan Peraturan Syarikat 1MDB. Secara semula jadi, Tony yang perlu untuk mengemukakannya jika beliau berhasrat untuk merujuk dokumen ber­kenaan,” ujar Mohd. Hafarizam.

Mahkamah sehubungan itu menetapkan lanjutan pengurusan kes pada 11 Ogos ini untuk melihat sama ada pihak plaintif dan defendan boleh mendapatkan dokumen tersebut.

Menurut Mohd. Hafarizam, jika dokumen tersebut tidak dapat dikemukakan, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk membuat keputusan permohonan Najib bagi membatalkan saman Tony Pua.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Yoke Yee Ching mewakili kerajaan manakala Tony Pua diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Najib telah memfailkan permohonan tersebut pada 14 Februari lalu atas alasan Perdana Menteri bukannya seorang pegawai awam selain tuntutan tersebut melibatkan saman bersifat collateral suit (saman cagaran) yang mempunyai tujuan politik yang terselindung.

Kerajaan selaku defendan ke­dua juga memohon saman Tony Pua dibatalkan atas alasan tuntutan tersebut tiada klausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan pro­ses mahkamah.

Pihak plaintif memfailkan saman tersebut terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Januari lalu atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan, membabitkan dana 1MDB.

Tony Pua dalam pernyataan tuntutan mendakwa, plaintif pertama atas kapasitinya sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB telah cuai menggunakan pengaruh dan kedudukannya bagi mendapatkan jaminan daripada kerajaan untuk bon-bon 1MDB daripada hasil-hasil yang telah dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.