Kebimbangan Ahli Parlimen Pekan itu yang turut dikongsi oleh barisan pembelaannya disuarakan melalui sepucuk surat dari firma guaman Shafee & Co yang dialamatkan kepada Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan salinan surat itu turut diajukan kepada Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak dan Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali; kesemuanya disampaikan secara serahan tangan semalam.


Surat tersebut antara lainnya mempersoalkan penukaran Hakim Mohd. Sofian secara tiba-tiba ke Mahkamah Tinggi Dagang di sini dan digantikan dengan Hakim Mohd. Nazlan berkuat kuasa 1 Ogos lalu yang pada masa sama berlakunya kontroversi bahawa hakim terdahulu merupakan adik kepada ahli Exco Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta daripada UMNO, Datuk Seri Mohd. Soffi Abd. Razak.

“Terdapat dakwaan akan berlakunya perbicaraan berat sebelah sekiranya Hakim Mohd. Sofian terus mendengar kes ini namun harus diingatkan bahawa tiada mana-mana pihak yang terlibat dalam perbicaraan ini mengemukakan permohonan agar hakim itu menarik diri.

“Oleh itu, Hakim Mohd. Sofian tidak mempunyai sebarang alasan untuk menarik diri, tiada keperluan buatnya untuk mendedahkan kedudukan abangnya dalam politik. Tiada sebarang kewajipan untuknya daripada segi undang-undang untuk berbuat demikian,” katanya.

Berhubung Hakim Mohd. Nazlan yang menggantikan Hakim Mohd. Sofian, bekas Perdana Menteri itu dan peguam-peguam belanya menyatakan hakim baharu itu telah diletakkan dalam satu situasi kurang menyenangkan kerana pertukarannya ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3 ‘secara tiba-tiba’ boleh disalah anggap sebagai seorang `hakim yang mempunyai misi tersendiri’.

“Kami tidak mempersoalkan kelayakan Hakim Mohd. Nazlan dalam mengendalikan kes ini namun ketiadaan prosiding yang sepatutnya berhubung perkara ini telah mewujudkan satu kegelisahan terhadap Hakim Mohd. Nazlan dan sistem keadilan itu sendiri. Hakim-hakim yang terlibat juga tidak boleh memberikan sebarang penjelasan terhadap situasi yang berlaku,” ujar surat terbabit.

Terdahulu, perkara itu telah dibangkitkan oleh Muhammad Shafee semasa prosiding mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Nazlan dengan menyatakan bahawa surat tersebut ditulis berdasarkan kepada pemerhatian terhadap sistem keadilan di negara ini berhubung dengan kes tersebut.

Menurutnya, beliau menimbulkan isu itu secara terbuka di mahkamah setelah anak guamnya mengadu tentang sistem keadilan dan menekankan bahawa kes tersebut adalah sangat sensitif apatah lagi ini merupakan pertama kali seorang perdana menteri didakwa.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya tidak menyalahkan hakim-hakim berkenaan namun melihat sistem kehakiman negara yang tidak telus apabila penukaran Hakim Mohd. Sofian dibuat tanpa permohonan rasmi di mahkamah terbuka.


“Kerisauan yang dizahirkan adalah berkaitan dengan sistem dan bukannya terhadap hakim itu sendiri. Sistem kehakiman seharusnya adil, Hakim Mohd. Nazlan tak salah, Hakim Mohd. Sofian juga tidak salah. Sepatutnya permohonan untuk Hakim Mohd. Sofian menarik diri difailkan supaya beliau boleh memikirkan sama ada harus meneruskan perbicaraan atau menarik diri,” kata peguam itu.


Tambah Muhammad Shafee, kebebasan sistem kehakiman merupakan sesuatu yang suci dan tidak boleh dipertikaikan dan oleh itu dalam memastikan integriti sistem perundangan serta proses keadilan itu terus dipandang mulia, ia menjadi tugas semua pihak untuk menjaganya.