Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahli Parlimen Pekan itu akan didakwa sekurang-kurangnya atas tiga pertuduhan.

Tambahnya, Najib juga telah diminta untuk hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya petang ini.

Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 4(1) akta tersebut.

Terdahulu, kenderaan Ahli Parlimen Pekan dilihat keluar dari kediamannya di Jalan Langgak Duta di ibu negara kira-kira pukul 11.40 pagi ini.

Kenderaan jenis Toyota Vellfire tersebut diiringi dua kereta jenama Proton Preve di hadapan dan Kia Sorento di belakang menuju ke satu lokasi yang tidak diketahui.

Pada 4 Julai lalu, Najib, 65, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatan untuk kepentingan peribadi melibatkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International.

Kes itu akan disebut esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali. - UTUSAN ONLINE