Dua kanak-kanak perempuan itu, Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 10, dan adiknya, Nur Firuza Aqila, 7, kini tinggal bersama ibu saudara sebelah bapa mereka, Yusnidah Husain, 50, setelah mahkamah memberikan hak penjagaan sementara kedua-dua anak yatim piatu berkenaan kepada wanita tersebut pada 11 Ogos 2016.

Mahkamah sehubungan de­ngan itu menetapkan 2 April ini untuk kedua-dua kanak-kanak tersebut memberi ke­terangan mereka di hadapan Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab.

Sementara itu, peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari yang mewakili Yusnidah ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pada tarikh tersebut, hakim syarie akan mendengar terlebih dahulu keterangan daripada ke­dua-dua kanak-kanak berkenaan sebelum membuat keputusan berhubung kes tuntutan hak penjagaan (hadanah) ke atas mereka.

Yusnidah selaku plaintif memfailkan tuntutan hada­nah berkenaan pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahyuddin berkata demi­kian selepas prosiding di hadapan Pendaftar Syariah, Mus­taffa Amri Yussuf yang turut dihadiri Wirda Syamsuddin, 55, iaitu ibu kepada arwah Nova Safitri Azhari selaku defendan yang diwakili peguam syarie, Yusfa Hanis Yusoff.

Dalam nahas yang berlaku pada 2 Mei 2015, di Kilometer 6.2 arah Ulu Kelang ke Jalan Duta, Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya, Nova Safitri, 25 dan anak bongsu mereka berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta semasa mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Putrajaya.