Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan demikian terhadap dua pemandu Myvi itu, Siti Noor Aini Mohd. Said, 39, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

 “Mahkamah mendapati keterangan daripada kedua-dua tertuduh tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata,” katanya yang memerintahkan tempoh penjara boleh ditambah dua tahun lagi sekiranya gagal membayar denda itu selain masing-masing hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam, Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini serta
peguam, S.N. Seelan yang mewakili Mohammad Fizal Reza untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Jaminan terhadap kedua-dua tertuduh turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM14,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan kedua-duanya perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Mengikut pertuduhan, penyelia restoran, Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza yang bekerja sendiri didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia enam bulan, Nur Firuza Annisa.

Kejadian didakwa berlaku di Duke Kilometer 6, dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini antara pukul 12.31 tengah malam dan 1.05 pagi, 2 Mei 2015.

Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada tiga anak, memandu kereta Myvi bernombor pendaftaran WXE 695 berwarna putih manakala Siti Noor Aini yang merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki memandu kereta W 5192 F berwarna kuning.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

- UTUSAN ONLINE