Di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, tertuduh, Suhana Japar, 34, didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas wang kutipan sewa daripada tiga syarikat, Cat Eye Sdn. Bhd., Bayasin Enterprise dan Sandammari Style Sdn. Bhd., berjumlah RM38,172 bagi kegunaannya sendiri antara 1 Disember 2014 dan 1 Ogos 2017.


Di hadapan Hakim Azman Ahmad, ibu tiga cahaya mata itu menghadapi tujuh pertuduhan melakukan perbuatan sama membabitkan empat syarikat iaitu Global Business Innovation Sdn. Bhd., La Ra’ib Enterprise, Sindhu Worldwide Sdn., Bhd. dan Whahid Jhang Sdn. Bhd. berjumlah RM88,010.40 antara 6 Januari 2015 dan 15 Julai tahun lalu.


Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di 8-01, Kompleks Kenanga Wholesale City, Jalan Gelugor melalui Jalan Kenanga, di sini dan didakwa mengikut 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin, Norashikin Ibrahim dan S. Malini Anne mencadangkan jaminan keseluruhan berjumlah RM160,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.


Suhana yang tidak diwakili peguam pula merayu jaminan dikurangkan kerana khuatir tidak mampu membayar jumlah ikat jaminan tinggi memandangkan dia kini tidak lagi bekerja selain mengharapkan suami yang bekerja sebagai pemandu.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM85,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan tertuduh tidak membayar wang jaminan tersebut dan dibawa ke Penjara Kajang.