Wanita terbabit, Noryati Bakar, 51, selaku plaintif memfailkan permohonan tersebut melalui peguam syarie, Ahmad Nawawi Ghazali, pada 24 Januari lalu.

Noryati dan bekas suaminya yang juga berusia 51 tahun selaku defendan hadir dalam proses sulh dikendalikan pegawai sulh, Faizal Mahayudin di Mahkamah Syariah di sini hari ini.

Ahmad Nawawi berkata, plaintif membuat permohonan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 30 Jun 2014 yang memberikan hak penjagaan kekal dua anak pasangan itu kepada defendan atas beberapa alasan, iaitu masing-masing anak perempuan berusia sembilan tahun dan anak lelaki berusia 14 tahun.

Kata beliau, antara dakwaan itu adalah pengabaian anak-anak yang kerap tidak hadir ke sekolah, mempergunakan anak untuk mengutip sumbangan dari rumah ibadat bukan Islam selain rumah didiami defendan dan dua anaknya itu didakwa kerap dikunjungi mubaligh Kristian.

“Plaintif yang berasa bimbang dengan keadaan dan keselamatan dua anaknya itu yang turut dikhuatiri cenderung kepada agama lain bertindak membuat permohonan berhubung hak penjagaan anak ini.

“Saya mewakili plaintif yang menyara hidup dengan bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang ini akan memohon supaya kes ini disegerakan demi kepentingan dua anak ini sama ada hak jagaan diberikan kepada plaintif atau kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” ujarnya.

Menurut beliau, defendan yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) pada kaki akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya, didakwa tidak bekerja dan disahkan bercerai dengan plaintif dua tahun lalu selepas tidak tinggal sebumbung sejak 2012.

Tambahnya, defendan dinasihatkan untuk melantik peguam dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Mac depan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Amiruddin Putra Zainol Abidin.

Dalam pada itu, Noryati berharap agar kes tersebut dapat dijalankan dengan cepat demi masa depan dua anaknya itu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa anak lelaki saya yang mengalami masalah pembelajaran juga belum berkhatan selain didakwa dipergunakan untuk mengutip sumbangan di rumah ibadat agama lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE