MUKHRIZ MAHATHIR

Perbicaraan itu melibatkan kes saman fitnah yang difailkan oleh Mukhriz terhadap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Perkara tersebut ditentukan secara sebulat suara selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Mukhriz hari ini. Beliau turut diperintah membayar kos RM10,000.

Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim berpuas hati Mahkamah Tinggi betul ketika menolak permohonan Mukhriz untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Perdana Menteri.

Panel itu berpendapat, Mahkamah Tinggi tidak terkhi­laf ketika memerintahkan peguam Mukhriz menyerahkan dokumen mahkamah kepada peguam Najib sebelum permohonan ex parte (sebelah pihak) untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah, didengar.

TENGKU SARIFFUDDIN
TENGKU SARIFFUDDIN

Kuorum berkenaan juga ber­puas hati dengan dapatan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bahawa Mukhriz gagal untuk membuktikan wujud­nya kea­daan prima facie yang membolehkan permohonannya dibenarkan.

Hakim Ahmad Zaidi turut mendapati, kenya­taan yang dimuat naik oleh Najib dalam Facebook pada 7 Julai tahun lalu, enam hari sebelum perbi­caraan kes yang ditetapkan pada 13 Julai, tiada kaitan dengan pernya­taan tuntutan dan perbicaraan kes saman fitnah berkenaan.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan memfailkan notis usul bagi memohon kebenaran merayu keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum itu, Mohamed Haniff Khatri berhujah, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memerintahkan peguam Mukhriz menyerahkan dokumen mahkamah kepada peguam Najib sebelum pendengaran permohonan ex parte.

Sementara itu, peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Najib berhujah, kenyataan anak guamnya dalam laman sosial itu tiada kaitan dengan perbicaraan kes saman melibatkan Tengku Sa­riffuddin.

Hujah beliau, perintah Mah­kamah Tinggi itu tidak sesuai di­rayu pada peringkat ini ke­rana ia bukan satu keputusan akhir selepas perbicaraan yang memberi kesan kepada mana-mana pihak.

Mukhriz memfailkan permohonan ex-parte terhadap Najib pada 13 Julai tahun lalu atas dakwaan membuat satu kenya­taan yang mana antara kan­dungannya merujuk kepada­nya (Mukhriz) dan berbentuk kenya­taan yang didakwa sebagai menghina dan mencampuri urusan mahkamah.