Muhammad Shafee menyatakan demikian ketika dihadapkan ke muka pengadilan dan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan melibatkan diri dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tiga tahun lalu.

Muhammad Shafee, 66, yang berkemeja putih dan bersut hitam itu dibawa masuk ke dalam mahkamah pada pukul 11.22 pagi sempat menyikat rambutnya dan bertemu ahli keluarga dan peguam bela sebelum prosiding bermula.

Dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram dikemukakan di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 manakala baki dua pertuduhan lagi dibuat mengikut perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Keempat-empat pertuduhan itu dikemukakan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk mengetuai pendakwaan, boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau ke-dua-duanya.

Muhammad Shafee me­­rupakan peguam utama yang menge­tuai barisan tujuh peguam bela yang mewa­kili Najib ketika bekas Presi­den UMNO itu didakwa pada tuduhan pecah amanah, me­nyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi dan pe­ngubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn. Bhd.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gha­rib mencadangkan jaminan RM2.5 juta dengan dua penjamin dan dua pasport milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan yang diberikan.

“Tertuduh seorang yang sa­ngat sibuk sehinggakan pernah suatu ketika kesnya disebut, dia sebagai peguam tidak hadir untuk mengendalikan kesnya di mahkamah. Oleh itu mahkamah perlu mengenakan jumlah jaminan yang tinggi bagi menjamin kehadiran tertuduh dan rasa tanggungjawabnya untuk hadir ke mahkamah,” kata Ahmad Akram.

Peguam Harvinderjit Singh yang mengetuai barisan peguam bela mewakili Muhammad Shafee pula memohon supaya anak guamnya dibebaskan dengan bon peribadi tanpa jumlah jaminan ditetapkan di bawah Seksyen 387 Kanun Tatacara Jenayah.

“Anak guam saya merupakan seorang peguam berpengalaman hampir 39 tahun dan menjadi Timbalan Pendakwa Raya selama enam tahun. Kes yang dikendalikan oleh tertuduh melebihi 100 kes jika dilihat dalam penca­rian Google dan kes terhadapnya adalah suatu kes yang luar biasa yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah,” ujar Harvinderjit.

Beliau yang menyifatkan jumlah jaminan dicadangkan pendakwaan adalah keterlaluan sebaliknya memohon agar mahkamah menetapkan jaminan antara RM500,000 dan RM600,000 sahaja.

Sri Ram ketika membalas hujah berkata, kes terhadap tertuduh adalah suatu kes berkepentingan awam oleh itu tindakan membebaskan tertuduh menerusi bon peribadi boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap orang awam.

Ujar beliau, kes dihadapi Muhammad Shafee adalah serius dan bebas daripada sebarang unsur politik sehubungan itu pihaknya memohon agar tertuduh tidak diberikan sebarang layanan istimewa.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Shafee diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin dan pasport antarabangsa serta pasport diplomatik tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Azura turut memerintahkan jumlah jaminan RM500,000 dijelaskan hari ini sementara bakinya dilunaskan pada 18 September ini. Mahkamah menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Muhammad Shafee turut diwa­kili peguam, Chetan Jethwani, Datuk Kamarul Hisham Kamarudin, Datuk Hasnal Rezua Merican, Sarah Abishegan, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, dan Jeffery John manakala pihak pendakwaan turut diser­tai oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar dan Afzainizam Abdul Aziz.