Beliau berkata, kesemua transaksi RM9.5 juta itu mempunyai resit yang dikeluarkan oleh firmanya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai yuran guaman.

“Saya langsung tidak menjangkakan pertuduhan terhadap saya, ini kerana saya hanya terima bayaran bagi khidmat guaman yang telah diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, di sini selepas selesai membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.

Tambahnya, sebagai peguam adalah tidak wajar untuknya mempersoalkan daripada mana sumber kewangan yang dibayar oleh Najib itu diperoleh.

“Takkan saya nak tanya perdana menteri (Najib) daripada mana sumber wang berkenaan,” katanya.

Muhammad Shafee turut menyifatkan bahawa tuduhan yang dikemukakan kepadanya hari ini adalah bermotifkan politik malahan tidak berasas serta karut. - UTUSAN ONLINE