Begitu kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas diberi keizinan untuk bercakap selepas seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan dia dibebaskan dengan jaminan RM25,000 berserta dua penjamin atas tuduhan mencabul gadis bawah umur bulan lalu.

Shahidan, 67, yang juga Ahli Parlimen Arau turut melahirkan rasa hairan apabila mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa notis dan membuat pertuduhan terhadapnya tanpa memaklumkan kepadanya atau peguamnya terlebih dahulu.

Terdahulu, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh tangan sehingga ke bahu kanak-kanak perempuan berusia 15 tahun tujuh bulan itu di dalam sebuah kenderaan yang dinaikinya di tepi jalan di pekara­ngan Stadium Tuanku Syed Putra di sini pada pukul 11.20 malam, 20 Oktober lalu.

Shahidan yang berkot hitam dan bersongkok didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Hakim Johari Hassan membenarkan jaminan tersebut selepas selesai mendengar hujah peguam, Thalia Rohana Abdul Latiff yang mewakili Shahidan, bersama-sa­ma peguam, Zuhair Ahmad Zakuan dan Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Dalam hujahnya, Thalia Rohana berkata, Shahidan merupakan bekas Menteri Besar Perlis dan juga mengetuai delegasi Ahli-ahli Parlimen negara di persidangan antarabangsa dan sehubungan itu, tidak mungkin anak guamnya­ itu melarikan diri atau sengaja tidak hadir di mahkamah kecuali menghadapi masalah kesihatan.

Sebelum itu Ketua Pendakwa Raya Perlis, Muhamad Nordin Ismail memohon mahkamah me­ngenakan ikat jamin yang tinggi mengambil kira kes itu berprofil tinggi dan demi kepentingan umum. Beliau juga memohon mahkamah menahan pasport tertuduh.

Selepas membenarkan jaminan, mahkamah menetapkan 8 Januari ini untuk sebutan kes tersebut.

Shahidan dibebaskan selepas kedua-dua penjaminnya iaitu anaknya, Ameer Shafiq dan menantu, Muhamad Lokman Abdul Rashid selesai membayar wang jaminan.

Yang turut hadir di mahkamah ialah isteri Shahidan, Datin Seri Shamsiah Mohd. Yassin serta seramai 50 penyokongnya.