Ng Pei Ven, 19, yang juga model sambilan membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ter­hadapnya selesai dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Jamaliah Abd. Manap.

Pei Ven yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran dituduh memberikan kepada diri sendiri dadah jenis amphetamine di pejabat Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) pada pukul 5 petang, 14 Mac lalu.

Dia yang tidak diwakili peguam dan dilihat tenang sepanjang prosiding didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Pegawai Pendakwa, Asisten Su­perintenden Md. Azman Kadir mencadangkan jaminan RM8,000 serta lesen memandu tertuduh digantung kerana kes berkenaan mendapat perhatian masyarakat.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 berserta dua penjamin manakala permohonan gantung lesen memandu tertuduh tidak dibenarkan kerana remaja terbabit masih belum didakwa dan disabitkan kesalahan bagi kes memandu secara berbahaya.

Bagaimanapun, Pei Ven diarahkan supaya melaporkan diri di ba­lai polis berhampiran pada setiap minggu sementara menunggu kes disebut semula pada 12 Mei ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi Selasa lalu, Mohamad Fandi Rosli, 26, maut selepas berlanggar dengan kereta jenis Proton Gen 2 yang dipandu Pei Ven di Kilometer 134 PLUS arah utara.

Kemalangan itu turut melibatkan dua buah kereta lain serta masing-masing sebuah van pekerja dan motosikal.

Sementara itu, difahamkan, dia juga bakal berdepan pertu­duhan berkaitan kesalahan trafik mengikut Seksyen 44 Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 dalam ma­sa terdekat.