Tertuduh, Agnes James Daim, 42, yang berbaju hitam berkata, dia berharap agar tidak dibuang kerja dengan pengakuan bersalah yang dibuatnya itu.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong bagaimanapun menyatakan, beliau tidak mempunyai kuasa dalam menentukan status pekerjaan tertuduh sebaliknya perkara itu terletak di bawah bidang kuasa jabatan kerajaan tempat tertuduh berkhidmat.

Nixon menjatuhkan hukuman penjara lapan hari termasuk tujuh hari semasa tahanan reman yang dikenakan sebelum ini dan denda RM4,000 jika gagal membayarnya akan dipenjara selama dua bulan.

Agnes merupakan salah seorang daripada enam pegawai penguat kuasa imigresen Sarawak yang didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan pada 10 April lalu kerana kesalahan me­nerima suapan pada tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Agnes telah menerima wang RM200 menerusi transaksi secara atas talian tanpa pertimbangan daripada Fazal Illahi Juma Gul di Malayan Banking Bhd. (Maybank) Cawangan Kota Sentosa, Jalan Penrissen pada 24 Disember tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Katherine Nais, manakala peguam Abdul Rahman Mohd. Hazmi mewakili Agnes.