Rahim Othman, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Tertuduh didakwa melakukan rompakan dan mencederakan Siti Irina Ridzwan, 20, di sebuah apartmen di Jalan Dimensi Utama di sini pada pukul 6.15 pagi, 10 September lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Sementara itu, rakan tertuduh, Amir Fusyairi Ahmad Anuar, 41, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan jenayah berkenaan.

Amir Fusyairi yang bekerja sebagai penarik kereta itu didakwa bersubahat dengan Rahim merompak hingga mencederakan Siti Irina di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd. Razi tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh-tertuduh atas alasan kes tersebut telah menjadi perhatian masyarakat selain membabitkan hukuman yang berat.

Bagaimanapun, Nariman membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM10,000 dan RM15,000 berserta seorang penjamin selain memerintahkan kedua-duanya melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.