Berikutan perbuatannya itu, Muhammad Fuad Saedan, 26, dihukum penjara sehari dan denda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di kedai Mr. D.I.Y di Aeon AU2, Setiawangsa, Wangsa Maju di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 29 September lalu.


Muhammad Fuad didakwa mencuri dua unit alat permainan masing-masing bernilai RM5.70 dan RM3.30 serta dua unit kabel telefon berharga RM16.80 dengan jumlah keseluruhannya, RM25.80 milik Mr. DIY Sdn. Bhd.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zikri Jaafar mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.


Terdahulu, peguam Iqhmar Shafiq Azmi yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menerima gaji tidak menentu sekitar RM1,200 sebulan dan merupakan anak bongsu daripada empat beradik.


“Ibu bapa anak guam saya hadir pada hari ini. Kedua-duanya pesara kerajaan. Mohon hukuman ringan diberikan kepada tertuduh memandangkan dia tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya malah barangan yang dicuri telah dikembalikan,” kata Iqhmar Shafiq.


Majistret Rahni Kartini Abd. Rahim turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara lagi tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Muhammad Fuad dibebaskan selepas kedua-dua ibu bapanya menjelaskan denda berkenaan. -UTUSAN ONLINE