Majistret Maizatul Munirah Abd. Rahman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Akmal Boon, 43, selepas lelaki itu mengaku bersalah mencuri barangan milik Nordin Bahak di dalam Wad 1, HKL, di sini pada pukul 4.45 pagi, 1 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Akmal yang merupakan seorang mualaf turut dihukum penjara sebulan oleh mahkamah sama selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menunjukkan kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri sementara ketika pemeriksaan polis di tempat, masa dan hari yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda sehingga RM20,000.

Terdahulu, Akmal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara singkat memandangkan tiada waris hadir bagi membayar denda selain mempunyai adik yang cacat penglihatan, bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang ramai.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman tersebut secara serentak bermula 1 Ogos lalu. -UTUSAN ONLINE