Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Mazlisham Mahamood, 48, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh diarahkan menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan iaitu pada 10 Disember lalu.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Noor Mizan Megat Hussain, 40, hingga putus tendon lengan kiri menggunakan sebilah kelewang di pos pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, Kuala Krai pada pukul 11 pagi, 10 Disember 2018.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, lelaki itu dilihat menangis teresak-esak serta merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia perlu menjaga ibu yang sedang sakit.

Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar memohon hukuman setimpal dikenakan kepadanya sebagai pengajaran agar tertuduh dan orang lain tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang sedang makan di kedai makan berhampiran SK Kampung Tengah dihampiri tertuduh dengan sebilah kelewang lalu berlari masuk ke kawasan sekolah namun terjatuh di hadapan pos pengawal.

Tertuduh terus menyerang dan menetak mangsa hingga cedera parah di lengan kiri. Kejadian tersebut dikatakan berpunca daripada masalah hutang mangsa dengan tertuduh. - UTUSAN ONLINE