Majistret Roslizi Sulaiman menjatuhkan hukuman tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes terhadap tertuduh, Teoh Thiam Lim, 30.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara ditambah lagi tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Lelaki berkenaan melunaskan penalti tersebut.

Selain hukuman penjara yang diperintahkan berkuat kuasa hari ini, majistret terbabit turut mengarahkan lesen memandu tertuduh direkodkan kesalahan tersebut dan hilang kelayakan memandu selama tiga tahun.

Berdasarkan pertuduhan, Thiam Lim didakwa telah memandu sebuah Proton Iswara secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Evelyn Ang Gek Suan, 45, yang merupakan salah seorang peserta larian itu di Batu 2, Jalan Kapar di sini pada pukul 4.30 pagi, 10 Disember 2017.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 serta lesen memandu digantung tidak kurang tiga tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ermadieyani Ismadi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ravi Nekoo.

Terdahulu, Ravi memohon penangguhan hukuman yang dikenakan ke atas anak guamnya sementara menunggu rayuan dikemukan. Bagaimanapun Roslizi menolak permohonan berkenaan memandangkan tiada keadaan khas wujud dalam permohonan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Evelyn Ang mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas terlibat dengan kemalangan tersebut, namun dia disahkan meninggal dunia pada 1 Mac tahun lalu. - UTUSAN ONLINE