TEOH THIAM LIM didakwa memandu kereta jenis Proton Iswara secara laju dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Evelyn Ang Gek Suan, 45, yang menyertai Klang City International Marathon di Batu 2, Jalan Kapar Klang, - MOHD. SHAHARANI SAIBI/UTUSAN.

Kehadiran mereka termasuk suami mendiang Evelyn Ang Gek Suan di luar mahkamah adalah sebagai tanda solidariti selain membawa kertas yang ditulis perkataan ‘Run Evie Run’ dan ‘Laugh, Love, Run’.

Suami mendiang, Dennis Loo ketika ditemui wartawan berkata, mereka cuma inginkan keadilan setimpal apatah lagi kes itu membabitkan isu keselamatan pengguna jalan raya di negara ini.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap tertuduh, Teoh Thiam Lim, 28, yang sebelum ini didakwa memandu secara melulu atau dengan kelajuan atau cara berbahaya kepada orang awam.

Timbalan Pendakwa Raya, Amira Abd. Aziz berkata, pindaan itu dibuat berikutan salah seorang peserta larian Klang City International Marathon, hujung tahun lalu telah meninggal dunia baru-baru ini.

Mengikut pertuduhan pindaan tersebut, Thiam Lim didakwa memandu kereta jenis Proton Iswara secara laju dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Gek Suan, 45, di Batu 2, Jalan Kapar di sini, kira-kira pukul 4.30 pagi, 10 Disember tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun serta denda maksimum RM20,000 selain lesen memandu digantung tidak kurang daripada tiga tahun.

Ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 20 Februari lalu, Thiam Lim didakwa mengikut Seksyen 42(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan

Thiam Lim yang memakai baju berwarna merah dan berseluar hitam bagaimanapun mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu.

Peguam, Lui Soon Oon yang mewakili tertuduh pula memaklumkan mahkamah, pihaknya akan menghantar surat representasi untuk mengkaji semula pertuduhan terhadap anak guam mereka.

Majistret Roslizi Sulaiman kemudian mengekalkan jumlah ikat jamin RM5,500 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 30 Mac ini bagi penyerahan dokumen serta laporan bedah siasat.