Keputusan itu dimuktamadkan hari ini oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif selepas menolak permohonan beliau untuk mendapat kebenaran merayu.

Hakim Raus ketika mengumumkan perkara itu berkata, kuorum tersebut sebulat suara berpendirian, kes saman yang dikemukakan oleh Mohamad atau Mat Sabu berpandukan kepada fakta.

Ujar Ketua Hakim Negara, Mahkamah Tinggi telah membuat dapatan fakta dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan, oleh yang demikian panel itu tiada alasan untuk mengubahnya.

Hakim Raus yang bersidang bersama Tan Sri Zainun Ali dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi turut memerintahkan Mat Sabu membayar kos RM10,000.

Mat Sabu diwakili oleh barisan peguam bela diketuai oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala UMMB diwakili oleh Wan Azmir Wan Majid dan Nor Emelia Iszeham.

Sebelum itu, panel tersebut mendengar penghujahan antara lain berhubung isu kelewatan hakim bicara menyediakan alasan penghakiman yang menjadi asas kepada permohonan kebenaran merayu.

Hakim Raus bagaimanapun mencelah dengan menyatakan, kelewatan penyediaan alasan penghakiman bukan merupakan sebab yang membolehkan keputusan terdahulu diketepikan.

Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2 Mei tahun lalu menolak saman itu dan Mahkamah Rayuan pada 13 Disember tahun lalu yang mengesahkannya, dikekalkan.

Mahkamah Tinggi berpuas hati, ketiga-tiga artikel yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 27 dan 28 Ogos 2011 berhubung ucapan Mat Sabu tentang serangan Bukit Kepong dan pejuang kemerdekaan, tidak berunsur fitnah.

Mahkamah berpendapat, kecaman yang dihadapi oleh Mat Sabu selaku pihak plaintif berpunca daripada ucapannya sendiri dan akhbar ini berjaya dengan pembelaan justifikasi komen berpatutan serta perlindungan bersyarat.

Mat Sabu, 64, memfailkan saman itu pada 21 Disember 2011 dengan menamakan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak sebagai defendan pertama dan UMMB defendan kedua.

Beliau mendakwa defendan menyiarkan tiga artikel berunsur fitnah terhadapnya berhubung serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Ketiga-tiga artikel itu dikeluarkan selepas Mat Sabu menyampaikan ceramah di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Manora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Artikel itu membabitkan laporan muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011 bertajuk ‘Mohamad Sabu hina pejuang, anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong‘ dan dua artikel lagi pada keesokannya bertajuk ‘Mat Sabu dikecam’ dan ‘Kenyataan Mat Sabu dibidas’.